Showing posts with label Luahan. Show all posts
Showing posts with label Luahan. Show all posts

Saturday, July 25, 2009

Masalah Pengangguran Siswazah, Penagihan Dadah Dan Kemiskinan





Pihak pembangkang telah mendakwa bahawa masalah pengagguran, terutamanya pengangguran siswazah, telah bertambah buruk di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional.

Pendirian BN :

* Kadar pengangguran secara keseluruhannya sebenarnya telah menurun, iaitu daripada 3.6% pada tahun 2001, kepada 3.4% pada suku ketiga tahun 2003.

* Penurunan kadar pengangguran ini dapat dicapai walaupun ekonomi negara menghadapi kesukaran/kemelesetan sementara akibat perkara-perkara luar dugaan seperti peristiwa 9/11 dan SARS.

* Walaubagaimanapun, masalah peningkatan kadar pengangguran di kalangan siswazah diakui telah meningkat, iaitu daripada 47,600 pada tahun 2002, kepada 59,600 pada akhir tahun 2003. Peningkatan kadar tersebut adalah akibat :

- Penyertaan siswazah-siswazah lepasan baru ke dalam tenaga pekerja.
- Kelayakan kebanyakan siswazah tidak menepati keperluan majikan/pasaran.
- Kemelesetan ekonomi dunia yang turut memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

Kerajaan BN telah mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah ini :

* Memperkenalkan program untuk menempatkan siswazah mengganggur di agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk mendapat kemahiran dan pengalaman bekerja. Dengan ini, masa lapang mereka digunakan secara produktif dan bermanfaat.

* Memperkenalkan program melatih semula siswazah untuk mempertingkatkan lagi kemahiran mereka, selaras dengan keperluan pasaran/majikan. Peruntukan asal sebanyak RM256.1 juta untuk menjayakan program ini telah dipertambahkan lagi pada tahun 2003, iaitu sebanyak RM100 juta lagi.

* Program-program anjuran kerajaan tersebut mendapat sambutan ramai. Seramai 37,429 siswazah telah mengambil bahagian.

Sebagai langkah jangkamasa panjang untuk meningkatkan lagi peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia, termasuk siswazah mengganggur, kerajaan BN :

* Meneruskan usaha memperbaiki mutu pendidikan pada setiap tahap, serta merubah kurikulum yang diajar supaya menekankan kemahiran yang diperlukan oleh pasaran, umpamanya kemahiran berkomunikasi, berfikiran kritis, dan menggunakan teknologi maklumat.

* Menekankan pertumbuhan ekonomi. Sektor-sektor ekonomi yang baru seperti teknologi maklumat dan bioteknologi terus diterokai dan dimajukan. Sektor-sektor tradisi seperti sektor pertanian dipermodenkan dan dikomersilkan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk luar bandar.

* Menggalakkan pengusahawanan sebagai pilihan kerjaya yang sama atau lebih baik berbanding "makan gaji". Insentif-insentif kewangan yang menarik serta program sokongan dan latihan turut diberi oleh kerajaan.

Masalah pengangguran dan penagihan dadah di negeri Kelantan

Pendirian BN :

- Kadar pengangguran di negeri Kelantan adalah agak tinggi iaitu melebihi 15%.

- Oleh kerana pembangunan ekonomi yang rendah di negeri Kelantan, kadar kemiskinan yang tertinggi iaitu sebanyak 12.4%, serta ketiadaan inisiatif atau program tertentu yang dilancarkan oleh kerajaan Kelantan untuk menangani masalah pengangguran :

* Ramai golongan muda di negeri Kelantan berhijrah ke negeri-negeri lain yang lebih maju kerana peluang-peluang pekerjaan yang lebih di negeri-negeri tersebut.

Lebih daripada 5% penduduk negeri Kelantan telah berhijrah ke Kuala Lumpur sahaja pada tahun 1999. Ini tidak termasuk penduduk Kelantan yang berhijrah ke negeri-negeri lain.

* Golongan muda yang menganggur di negeri Kelantan dan Terengganu menggunakan masa lapang mereka secara tidak produktif dan melibatkan diri dalam gejala sosial seperti penagihan dadah.

Jumlah penagih dadah di negeri Kelantan pada tahun 2003 adalah seramai 3,625 orang, di mana 2,312 adalah penagih dadah baru.

Mengikut laporan Berita Harian (11/02/04), setiap dua jam, dua penagih wujud di Kelantan sepanjang tahun 2003. Kebanyakan penagih baru adalah mereka yang berusia antara 20 hingga 29 tahun.

Kerajaan BN memandang serius hal ini. Untuk menangani masalah pengangguran, dan seterusnya masalah penagihan dadah, kerajaan BN berhasrat :

* Menjana lebih peluang pekerjaan dengan membangunkan ekonomi, terutamanya ekonomi desa, melalui pelaburan untuk menaiktarafkan dan mengkomersilkan sektor pertanian, perikanan dan kraf.

* Memantapkan lagi program-program pemulihan yang dianjurkan di pusat-pusat serenti supaya kadar pengulangan di antara penagih dadah dapat diturunkan.

* Mewujudkan lagi pusat-pusat rekreasi yang kondusif untuk bersukan dan beriadah supaya masa lapang golongan muda dapat diisi dengan cara yang sihat dan produktif.

* Memupuk nilai-nilai moral yang positif, berteraskan pendidikan agama, supaya golongan muda tidak tertarik untuk membabitkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.

Kadar kemiskinan yang masih tinggi di negeri Kedah

- Pihak pembangkang membuat dakwaan bahawa kadar kemiskinan di negeri Kedah yang dipimpin oleh kerajaan BN masih lagi tinggi.

Mereka juga mendakwa bahawa penduduk desa, terutamanya para petani dan nelayan terus dipinggirkan dari arus pembangunan.

Pendirian BN :

* Kadar kemiskinan di negeri Kedah, sebanyak 10.7%, bukanlah yang tertinggi di antara negeri-negeri di Malaysia. Kadar kemiskinan di Kelantan adalah 12.4% dan Terengganu 12.5%.

* Kerajaan pimpinan BN telah, dan akan terus, membela nasib golongan miskin melalui dasar pembangunan yang seimbang dan program-program pembasmian kemiskinan yang disasarkan.

* Terdapat dua matlamat utama dasar pembasmian kemiskinan kerajaan. Pertama, untuk menyalurkan bantuan dan kemudahan asas seperti bantuan kewangan, pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, supaya golongan miskin dapat meneruskan kehidupan mereka.

Kedua, untuk memperbanyakkan peluang untuk golongan miskin menaiktarafkan kehidupan mereka, iaitu dengan membangunkan lagi ekonomi desa.

* Kerajaan akan terus menganjurkan program-program tertentu untuk memodenkan dan mengkomersilkan sektor pertanian, menggalakkan pengusahawanan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) untuk membangunkan lagi ekonomi desa.

* Golongan petani, penternak dan nelayan akan diberi peluang untuk melibatkan diri secara langsung dalam program-program dan projek-projek berasaskan pertanian yang mampu menjana pendapatan yang lebih. Dengan itu, para petani, penternak dan nelayan tidak lagi akan terpinggir dari arus pembangunan, malah mereka akan menjadi nadi penggerak ekonomi desa.

* Kerajaan akan memastikan kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan memberi perkhidmatan mereka secara bersepadu untuk memastikan kesinambungan yang lebih baik antara program-program pembasmian kemiskinan dan projek-projek pembangunan desa, demi kebaikan dan kesenangan golongan miskin.

Sunday, June 14, 2009

Universiti cerminan Satu Malaysia




PADA 16 Mei lalu, saya berpeluang berucap pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kebangsaan untuk kali kedua sejak menjadi Menteri Pengajian Tinggi.

Ada pelbagai sebab mengapa saya mengambil perhatian yang sangat mendalam terhadap konvensyen ini.

Pertama, kerana ia merupakan himpunan besar-besaran para pemimpin pelajar dari seluruh negara. Kita mengharapkan mereka akan dapat berinteraksi, berbincang, berbahas dan memperkatakan tentang isu-isu semasa.

Kedua, kerana melalui konvensyen ini, sedikit sebanyak kementerian akan dapat menilai dan melihat sejauh mana kemajuan dalam soal membangun dan menjayakan pelajar-pelajar. Sama ada daripada sudut kefahaman mereka tentang kepimpinan dan lain-lain aspek pembangunan sahsiah pelajar.

Selain itu, kita juga ingin tahu apakah pandangan, cadangan, pembaikan dan sebagainya yang ingin dilontarkan oleh para pemimpin pelajar tersebut.

Saya percaya ia wajar dilaksanakan kerana pemimpin dari kalangan mahasiswa bukan calang-calang orangnya. Mereka terdiri daripada kalangan yang menjadi pemimpin, terpilih mewakili masyarakat mahasiswa yang berjumlah 280,000 orang.

Maka atas sebab itulah, pandangan, cadangan dan idea mereka merupakan sesuatu yang sangat penting dan akan diberi perhatian oleh Kementerian. Ia diharap mewujudkan persefahaman dan kerjasama di antara semua pihak – mahasiswa, universiti dan kementerian.

Negara kita kini menghadapi pelbagai cabaran, kesan daripada perubahan pesat di peringkat dunia. Kita sedar bahawa kita tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan kesan tersebut.

Tetapi persoalan yang mungkin tidak boleh dielak ialah sama ada kita semua bersedia untuk menghadapi perubahan daripada kesan krisis tersebut.

Maka dalam melihat kepada usaha menghadapi perubahan dan cabaran, kita akan terfikir mengenai bentuk masa depan. Paling penting, apakah kita mempunyai masa depan?

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, perkara pertama dan paling utama dilontarkan oleh beliau ialah beberapa konsep dan pendekatan antaranya konsep Satu Malaysia.

Kepada para pelajar, bagaimanakah takrifan Satu Malaysia itu dapat diterjemahkan di peringkat IPT? Ini kerana, konsep itu merupakan landasan bagi memupuk perpaduan rakyat. Satu Malaysia berteraskan beberapa nilai penting yang wajar menjadi amalan setiap rakyat.

Kita sedar bahawa nilai-nilai penting yang menjadi kerangka bagi Satu Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, kerendahan hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan ataupun ilmu dan juga integriti merupakan nilai-nilai yang diharap menjadi pegangan dan juga amalan.

Bukan sahaja dalam usaha membawa perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat. Tetapi menjadi asas kepada usaha menjamin kestabilan dalam mencapai kemajuan dan pembangunan untuk rakyat dan negara.

Konsep Satu Malaysia menghargai dan menghormati identiti setiap kaum dan menganggapnya sebagai satu aset. Identiti yang berbeza itu dianggap sebagai satu aset dan asas utama konsep ini ialah keadilan untuk semua kaum. Dalam kata lain, nasib semua kaum akan dibela tanpa mana-mana pihak dipinggirkan. Dan mereka yang memerlukan pembelaan akan dibela tanpa mengira kaum atau agamanya.

Unik tentang konsep Satu Malaysia ini ialah, ia bukanlah satu konsep yang statik. Sebaliknya, ia adalah gagasan yang melalui proses evolusi dan akan memakan masa untuk menjadi realiti. Oleh kerana ia boleh berubah, maka ia boleh disesuaikan mengikut perkembangan semasa.

Maka disinilah sebenarnya pelajar IPT, sebagai pemimpin generasi akan datang, boleh turut serta memberi sumbangan terhadap idea Satu Malaysia.

Caranya ialah dengan memberi pandangan apakah akhirnya bentuk Satu Malaysia yang hendak kita lahirkan nanti.

Sebagai pelajar, saya percaya mahasiswa mempunyai kemampuan untuk membangkitkan kesedaran kebangsaan dalam usaha membangun dan menentukan survival bangsa dan negara.

Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya mencabar pelajar untuk turut serta mentakrif apa makna Satu Malaysia. Melaku dan mengamalkan nilai-nilai yang menjadi perkara teras itu.

Para pelajar ini adalah kumpulan yang berilmu dan matang. Kerajaan menyandarkan harapan agar mereka terus memainkan peranan yang lebih hebat dan mendalam dalam membangunkan negara.

Inilah cabaran yang paling utama kepada semua pelajar di institusi pengajian tinggi yang merupakan tempat berhimpunnya rakyat pelbagai kaum.

Dalam erti kata lain, universiti sebenarnya adalah satu cerminan kepada Satu Malaysia. Pemimpin-pemimpin pelajar perlu memainkan peranan untuk membangkitkan kesedaran nasional dan menentukan supaya Satu Malaysia ini difahami dan juga diamalkan.

Saya sebut diamalkan kerana kerangka lapan nilai atau teras Satu Malaysia itu sendiri mencerminkan nilai-nilai yang positif dan murni. Satu Malaysia bukan mengenai usaha menguar-uarkan slogan oleh mana-mana parti politik. Ia adalah satu seruan untuk memastikan kita terus hidup dan bertahan sebagai sebuah negara.

Cabaran negara ini pada masa-masa mendatang ialah satu perkara yang kita tidak boleh abaikan atau ketepikan. Sebaliknya kita mesti menjadi kuat dan mempunyai intipati yang betul untuk terus hidup dan bersaing. Ia penting untuk mengatasi apa jua cabaran.

Saya percaya para pelajar kita mampu untuk membangunkan satu cerminan dalam universiti mengenai konsep Satu Malaysia yang ditafsirkan sendiri menurut kaca mata mereka. Maka atas sebab itulah pada Konvensyen MPP yang lalu, saya mengumumkan bahawa satu pertandingan yang dinamakan Pertandingan Satu Malaysia@Kampus yang terbuka kepada IPTA dan IPTS yang terdapat dalam negara kita diadakan. Pertandingan ini terbuka kepada semua universiti yang mana saya berharap MPP setiap universiti akan menjadi peneraju dengan kerjasama dan dengan usaha, bantuan, sokongan daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti.

Saya berharap supaya setiap MPP dapat melahirkan blueprint masing-masing mengenai gagasan Satu Malaysia ini menurut kacamata mereka.

Kita akan memilih pemenang iaitu tiga dari IPTA dan dua dari IPTS untuk melaksanakannya di universiti masing-masing. Pihak kementerian akan menyediakan geran sebanyak RM30,000 bagi setiap pemenang untuk membolehkan blueprint mereka diterjemahkan di universiti masing-masing dalam bentuk pelaksanaan.

Dalam pertemuan dengan para pemimpin pelajar itu juga saya turut menjelaskan falsafah di sebalik konsep “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”. Pendekatan ini merupakan cara yang sememangnya dikehendaki oleh rakyat. Apatah lagi kita semua ingin sama-sama bertanggungjawab terhadap apa sahaja yang berlaku dalam negara kita pada hari ini.

Daripada sudut kerajaan dan juga KPT, sudah tentulah kita perlu melihat siapakah rakyat yang dimaksudkan. Di KPT selain ibu bapa, kerajaan dan masyarakat, rakyat bagi kita ialah para pelajar dan mahasiswa.

Dan pengharapan pelajar ialah untuk mereka mendapat ilmu dan institusi yang terbaik. Supaya apabila mereka keluar daripada universiti nanti akan berupaya mendapat pekerjaan.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan kemudahan, prasarana dan ruang terbaik serta peluang secukupnya untuk para pelajar kita cemerlang.

Pada masa sama, kerajaan, rakyat, masyarakat dan ibubapa juga mempunyai harapan terhadap pelajar. Iaitu supaya mereka benarbenar dapat menguasai ilmu dan menjadi pemimpin di masa depan. Mereka boleh menjadi penentu di masa akan datang.

Cemerlang dalam mengejar ilmu pengetahuan, mempunyai sifat-sifat dan ciri yang boleh membentuk mereka menjadi minda kelas pertama. Mempunyai kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah – sesuai sebagai pemimpin masa hadapan dan penentu masa hadapan negara.

Bagi kementerian dan kerajaan, kita akan terus melabur untuk memberi masa depan yang sempurna kepada pelajar agar menjadi warga yang berguna pada masa kini dan juga pada masa akan datang.

Sebab itulah kita melihat kepada pembangunan pelajar secara menyeluruh. Serta turut melihat kepada soal kemahiran softskill yang akhirnya akan dapat memberi tambah nilai untuk mereka mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Pengharapan yang diletakkan ke atas para pelajar kita sangatlah tinggi. Kerana kepada merekalah kita sandarkan harapan untuk melahirkan pemimpin masa hadapan negara.

Oleh yang demikian, mereka menjadi aset negara yang paling utama. Merekalah yang akan menentukan masa depan negara. Untuk itu, mereka harus berketerampilan, mempunyai daya saing, kreatif dan inovatif. Bukan semata-mata untuk menjadi golongan yang berilmu dan bijaksana tetapi juga merupakan golongan intelektual yang mampu berfikir dan dapat menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan juga ketamadunan bangsa dan juga negara.

Sebagai generasi pelapis yang akan mengambil alih kepimpinan negara dan sebagai golongan modal insan yang paling berharga, para pelajar kita tidak ada pilihan selain menentukan mereka juga dapat memenuhi pencapaian dan prestasi yang tinggi.

Sama seperti mereka mengharapkan kepada kerajaan ataupun pendidik agar dapat melaksanakan tanggungjawab untuk mereka sebagai pelajar.

Sebab itulah, dalam soal ini para mahasiswa perlu meletakkan prestasi akademik sebagai satu keutamaan yang paling penting. Berusaha dan beriltizam setiap masa untuk mencapai prestasi yang baik serta bersaing secara sihat dalam mengejar ilmu.

Sudah tentulah dalam usaha mengejar ilmu, menghayati ketinggian ilmu dan mengamalkan pencapaian dalam segenap aspek kehidupan semasa di kampus, maka saya percaya para pelajar kita akan benar-benar dapat memenuhi harapan yang diletakkan oleh negara, kerajaan, kementerian, universiti dan juga oleh golongan akademik yang menjadi pendidik mereka selama ini.

Jika kita semua faham peranan dan tanggungjawab dan berusaha melaksanakannya, maka kita akan dapat menjayakan aspirasi negara.

Barulah kita boleh katakan bahawa negara akan terus bersedia menghadapi segala cabaran dan juga persaingan pada hari ini mahupun di masa-masa akan datang.

oleh MOHAMED KHALED NORDIN