Saturday, July 25, 2009

Masalah Pengangguran Siswazah, Penagihan Dadah Dan Kemiskinan





Pihak pembangkang telah mendakwa bahawa masalah pengagguran, terutamanya pengangguran siswazah, telah bertambah buruk di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional.

Pendirian BN :

* Kadar pengangguran secara keseluruhannya sebenarnya telah menurun, iaitu daripada 3.6% pada tahun 2001, kepada 3.4% pada suku ketiga tahun 2003.

* Penurunan kadar pengangguran ini dapat dicapai walaupun ekonomi negara menghadapi kesukaran/kemelesetan sementara akibat perkara-perkara luar dugaan seperti peristiwa 9/11 dan SARS.

* Walaubagaimanapun, masalah peningkatan kadar pengangguran di kalangan siswazah diakui telah meningkat, iaitu daripada 47,600 pada tahun 2002, kepada 59,600 pada akhir tahun 2003. Peningkatan kadar tersebut adalah akibat :

- Penyertaan siswazah-siswazah lepasan baru ke dalam tenaga pekerja.
- Kelayakan kebanyakan siswazah tidak menepati keperluan majikan/pasaran.
- Kemelesetan ekonomi dunia yang turut memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

Kerajaan BN telah mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah ini :

* Memperkenalkan program untuk menempatkan siswazah mengganggur di agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk mendapat kemahiran dan pengalaman bekerja. Dengan ini, masa lapang mereka digunakan secara produktif dan bermanfaat.

* Memperkenalkan program melatih semula siswazah untuk mempertingkatkan lagi kemahiran mereka, selaras dengan keperluan pasaran/majikan. Peruntukan asal sebanyak RM256.1 juta untuk menjayakan program ini telah dipertambahkan lagi pada tahun 2003, iaitu sebanyak RM100 juta lagi.

* Program-program anjuran kerajaan tersebut mendapat sambutan ramai. Seramai 37,429 siswazah telah mengambil bahagian.

Sebagai langkah jangkamasa panjang untuk meningkatkan lagi peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia, termasuk siswazah mengganggur, kerajaan BN :

* Meneruskan usaha memperbaiki mutu pendidikan pada setiap tahap, serta merubah kurikulum yang diajar supaya menekankan kemahiran yang diperlukan oleh pasaran, umpamanya kemahiran berkomunikasi, berfikiran kritis, dan menggunakan teknologi maklumat.

* Menekankan pertumbuhan ekonomi. Sektor-sektor ekonomi yang baru seperti teknologi maklumat dan bioteknologi terus diterokai dan dimajukan. Sektor-sektor tradisi seperti sektor pertanian dipermodenkan dan dikomersilkan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk luar bandar.

* Menggalakkan pengusahawanan sebagai pilihan kerjaya yang sama atau lebih baik berbanding "makan gaji". Insentif-insentif kewangan yang menarik serta program sokongan dan latihan turut diberi oleh kerajaan.

Masalah pengangguran dan penagihan dadah di negeri Kelantan

Pendirian BN :

- Kadar pengangguran di negeri Kelantan adalah agak tinggi iaitu melebihi 15%.

- Oleh kerana pembangunan ekonomi yang rendah di negeri Kelantan, kadar kemiskinan yang tertinggi iaitu sebanyak 12.4%, serta ketiadaan inisiatif atau program tertentu yang dilancarkan oleh kerajaan Kelantan untuk menangani masalah pengangguran :

* Ramai golongan muda di negeri Kelantan berhijrah ke negeri-negeri lain yang lebih maju kerana peluang-peluang pekerjaan yang lebih di negeri-negeri tersebut.

Lebih daripada 5% penduduk negeri Kelantan telah berhijrah ke Kuala Lumpur sahaja pada tahun 1999. Ini tidak termasuk penduduk Kelantan yang berhijrah ke negeri-negeri lain.

* Golongan muda yang menganggur di negeri Kelantan dan Terengganu menggunakan masa lapang mereka secara tidak produktif dan melibatkan diri dalam gejala sosial seperti penagihan dadah.

Jumlah penagih dadah di negeri Kelantan pada tahun 2003 adalah seramai 3,625 orang, di mana 2,312 adalah penagih dadah baru.

Mengikut laporan Berita Harian (11/02/04), setiap dua jam, dua penagih wujud di Kelantan sepanjang tahun 2003. Kebanyakan penagih baru adalah mereka yang berusia antara 20 hingga 29 tahun.

Kerajaan BN memandang serius hal ini. Untuk menangani masalah pengangguran, dan seterusnya masalah penagihan dadah, kerajaan BN berhasrat :

* Menjana lebih peluang pekerjaan dengan membangunkan ekonomi, terutamanya ekonomi desa, melalui pelaburan untuk menaiktarafkan dan mengkomersilkan sektor pertanian, perikanan dan kraf.

* Memantapkan lagi program-program pemulihan yang dianjurkan di pusat-pusat serenti supaya kadar pengulangan di antara penagih dadah dapat diturunkan.

* Mewujudkan lagi pusat-pusat rekreasi yang kondusif untuk bersukan dan beriadah supaya masa lapang golongan muda dapat diisi dengan cara yang sihat dan produktif.

* Memupuk nilai-nilai moral yang positif, berteraskan pendidikan agama, supaya golongan muda tidak tertarik untuk membabitkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.

Kadar kemiskinan yang masih tinggi di negeri Kedah

- Pihak pembangkang membuat dakwaan bahawa kadar kemiskinan di negeri Kedah yang dipimpin oleh kerajaan BN masih lagi tinggi.

Mereka juga mendakwa bahawa penduduk desa, terutamanya para petani dan nelayan terus dipinggirkan dari arus pembangunan.

Pendirian BN :

* Kadar kemiskinan di negeri Kedah, sebanyak 10.7%, bukanlah yang tertinggi di antara negeri-negeri di Malaysia. Kadar kemiskinan di Kelantan adalah 12.4% dan Terengganu 12.5%.

* Kerajaan pimpinan BN telah, dan akan terus, membela nasib golongan miskin melalui dasar pembangunan yang seimbang dan program-program pembasmian kemiskinan yang disasarkan.

* Terdapat dua matlamat utama dasar pembasmian kemiskinan kerajaan. Pertama, untuk menyalurkan bantuan dan kemudahan asas seperti bantuan kewangan, pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, supaya golongan miskin dapat meneruskan kehidupan mereka.

Kedua, untuk memperbanyakkan peluang untuk golongan miskin menaiktarafkan kehidupan mereka, iaitu dengan membangunkan lagi ekonomi desa.

* Kerajaan akan terus menganjurkan program-program tertentu untuk memodenkan dan mengkomersilkan sektor pertanian, menggalakkan pengusahawanan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) untuk membangunkan lagi ekonomi desa.

* Golongan petani, penternak dan nelayan akan diberi peluang untuk melibatkan diri secara langsung dalam program-program dan projek-projek berasaskan pertanian yang mampu menjana pendapatan yang lebih. Dengan itu, para petani, penternak dan nelayan tidak lagi akan terpinggir dari arus pembangunan, malah mereka akan menjadi nadi penggerak ekonomi desa.

* Kerajaan akan memastikan kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan memberi perkhidmatan mereka secara bersepadu untuk memastikan kesinambungan yang lebih baik antara program-program pembasmian kemiskinan dan projek-projek pembangunan desa, demi kebaikan dan kesenangan golongan miskin.

No comments: