Beberapa tips berguna dari Dr Tengku Asmadi Tengku Ahmad (Pakar Motivasi dan Pemilik MAP Training & Consultancy Sdn Bhd) untuk diamalkan oleh calon-calon peperiksaan.
(1) Bersikap Tenang :
Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50 peratus apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri bahawa kita boleh menjawabnya.
(2) Kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat :
Semak sama ada kita memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.
(3) Semak soalan tahun lalu (setiap subjek) :
Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, kita tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.
(4) Banyakkan pembelajaran secara output learning :
Di saat-saat akhir, kita seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman kita kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran.
(5) Memperbanyakkan latih tubi dan ujian simulasi :
Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman kita terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong kita mengatasi bahagian subjek yang lemah.
(6) Nota ringkas :
Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Kita boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.
(7) Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya :
Biar sesibuk mana sekalipun, kita perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.
(8) Pemakanan berkhasiat dan seimbang :
Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein kerana kita mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.
(9) Kawal emosi :
Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat kita akan menduduki peperiksaan. Elak menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.
(10) Banyakkan berdoa dan bersolat :
Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Bagi yang beragama Islam, kita perlu memperbanyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya.
Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.
Semoga berjaya.
No comments:
Post a Comment