Saturday, July 25, 2009

Pelaburan Kerajaan Dalam Sektor Pendidikan

Pendahuluan

Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menetapkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia.

� Kerajaan menjadikan pendidikan sebagai agenda utama negara kerana hanya pendidikan mampu merubah pemikiran dan meningkat taraf hidup rakyat, khususnya Bumiputera.

Ini terbukti dengan peruntukan yang besar oleh kerajaan bagi memastikan segala perancangan untuk mewujudkan sistem pendidikan yang anjal bagi melahirkan insan yang berilmu tercapai.

Usaha-Usaha yang dijalankan oleh Kerajaan :

� Kesungguhan kerajaan di dalam memastikan pendidikan di negara ini membangun dan setaraf dengan negara-negara maju terbukti apabila menyediakan peruntukan yang besar dalam bajet tahunan.

Misalnya, dalam Bajet 2004, kerajaan memperuntukkan RM20.2 bilion, satu perempat daripada peruntukan perbelanjaan mengurus untuk pendidikan.

� Kerajaan juga telah meningkatkan jumlah institut pengajian tinggi awam (IPTA) kepada 17 buah yang mampu menampung lebih 300,000 pelajar.

Kemudiannya kewujudan beberapa universiti swasta merancakkan lagi perkembangan pendidikan di negara ini.

� Bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran graduan, khususnya bagi program yang tidak ditawarkan di universiti dalam negeri, kerajaan terus menghantar pelajar melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di luar negara.

Kini, dianggarkan lebih 110,000 pelajar Malaysia menuntut di luar negara.

� Kemajuan sains dan teknologi adalah keperluan penting dan negara perlu mempunyai sumber tenaga mahir bagi memastikan mereka dapat bersaing di persada antarabangsa.

Justeru, Kementerian Pendidikan telah mengatur pelbagai strategi bagi meningkatkan pengambilan pelajar jurusan sains di IPTA dengan sasaran 60 peratus tempat pada 2005.

� Dalam era teknologi maklumat (IT) yang semakin berkembang pesat kini kerajaan tidak mahu golongan muda khususnya ketinggalan dalam mempelajari dunia IT.

Mereka dituntut menguasai IT supaya dapat memanfaatkan arus globalisasi.

Justeru, kerajaan telah memastikan sekolah di bandar atau luar bandar mempunyai makmal komputer sebagai persediaan awal Kementerian Pendidikan yang mahukan semua pelajar sekolah menguasai IT.

� Selain itu, kerajaan tidak pernah cuai dan mengabaikan tanggungjawab dalam menyediakan kemudahan pendidikan agama untuk membentuk masyarakat yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Justeru, kerajaan telah membina sekolah rendah agama bertujuan memastikan pembentukan nilai murni dan akhlak yang mulia di kalangan pelajar dapat dicapai.

� Pendidikan prasekolah diberi keutamaan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak mendapat pendedahan awal sebelum memasuki alam persekolahan.

Menyedari hal itu, program pendidikan prasekolah Kementerian Pendidikan yang diperkenalkan pada 1992, akan diperluaskan dengan tambahan 1,500 kelas setiap tahun mulai 2003 hingga 2006 dan 1,600 kelas pada 2007. Menjelang 2007, Kementerian Pendidikan menjangka semua kanak-kanak di seluruh negara berpeluang mengikuti pendidikan prasekolah sebagai persediaan mereka menghadapi alam persekolahan sebenar.

� Sekolah bestari juga diwujudkan dengan pengajaran dan pembelajaran dilakukan menerusi bantuan teknologi komputer.

Sekolah bestari yang mampu memberi dimensi baru kepada sistem pendidikan terus diperbanyakkan.

Hal ini sejajar dengan hasrat penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang mana Projek Perintis Sekolah Bestari adalah satu daripada aplikasi perdana.

Jika segala rancangan berjalan lancar, semua sekolah di Malaysia menjadi sekolah bestari menjelang 2010.

� Kerajaan berpandangan jauh apabila memperkenalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah mulai tahun 2002.

Oleh itu bagi memastikan pelaksanaan ini tercapai, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi tempoh 7 tahun (2002-2008). Peralatan bagi tujuan keberkesanan pembelajaran tersebut misalnya notebook dan LCD projector juga telah diperuntukan sebanyak RM978.7 juta pada tahun 2002.

� Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan memperuntukkan lebih RM773 juta setiap tahun untuk belanja mengurus bagi meningkatkan lagi kualiti guru di seluruh negara.

Hal ini juga bagi memastikan kemudahan infrastruktur, pusat sumber, kelayakan akademik dan profesionalisme pensyarah maktab perguruan sentiasa dipertingkatkan bagi membolehkan guru pelatih menimba pengetahuan serta kemahiran keguruan berkualiti sebelum mereka menjalankan tugas di sekolah.

Kesimpulan

� Kerajaan begitu serius dalam memastikan rakyat di negara ini mendapat pendidikan formal bermula daripada peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi.

� Dalam mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, bidang pendidikan adalah penyumbang utama ke arah pencapaian tersebut.

Justeru, usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf pendidikan di negara ini amat bertepatan kerana rakyat boleh menikmati kemudahan pendidikan yang sempurna, selain berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

No comments: