Konsep Dan Pelaksanaan Sekolah Wawasan

Pendahuluan

� Kementerian Pendidikan kini giat merancang dan melaksanakan program Sekolah Wawasan. Namun, pelaksanaan program ini telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak terutamanya reaksi negatif daripada pihak pembangkang.

Dalam hal ini, kerajaan tidak mempunyai sebarang agenda untuk menghapuskan ciri-ciri sekolah vernakular dalam pelaksanaan Sekolah Wawasan melainkan mahu mengelakkan prejudis kaum di kalangan golongan muda negara pada masa depan.

Pelaksanaan Sekolah Wawasan

� Sekolah integrasi ini berpegang kepada konsep belajar bersama-sama di bawah satu bumbung atau satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama.

Konsep ini bermaksud dua atau tiga buah sekolah yang berlainan aliran dan pentadbiran dibina dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan-kemudahan asas seperti padang permainan, dewan, pusat sumber, bilik komputer, kantin dan sebagainya.

� Perkongsian kawasan dan kemudahan sekolah ini memungkinkan usaha-usaha penerapan nilai-nilai masyarakat majmuk serta memupuk semangat persefahaman dan toleransi antara kaum, khususnya di kalangan murid-murid sekolah sejak di peringkat rendah lagi.

Matlamat

� Mewujudkan perpaduan di kalangan murid-murid yang berbagai-bagai bangsa, latar belakang dan fahaman agama.

� Memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran.

� Melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu.

� Menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah.

Ciri-Ciri Dan Pelaksanaan Sekolah Wawasan

Pentadbiran dan Pengurusan Kewangan

a. Sekolah Wawasan mempunyai dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan aliran (SK/SJK/SJKT) yang terletak dalam satu kawasan dan menggunakan bahasa pengantar masing-masing.

b. Tiap-tiap sekolah mempunyai nama sekolah yang tersendiri termasuk lencana sekolah, lagu sekolah, logo sekolah dan peperiksaan sekolah masing-masing. Bagi Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan (Tamil), lembaga pengelola yang sedia ada akan terus kekal seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996.

c. Sekolah Wawasan mempunyai pentadbiran secara berasingan (Peruntukan Kewangan, Anggaran Belanja Mengurus dan Pembangunan, Guru Besar dan personel yang lain-lain) bagi aliran masing-masing seperti yang dipraktikkan oleh sekolah kerajaan.

d. Pelaksanaan Sekolah Wawasan akan mengekalkan identiti asal sekolah-sekolah berkenaan.

e. Warga Sekolah Wawasan digalak menggunakan sebahagian kemudahan sekolah secara bersama seperti kantin, lapangan perhimpunan, gelanggang permainan dan padang.

f. Satu Jawatankuasa Penyelaras yang terdiri daripada Guru Besar dan dua orang guru dari setiap sekolah diwujudkan untuk menyelaras hal-hal pengurusan mengenai kebersihan, keceriaan dan keselamatan sekolah.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh salah seorang daripada Guru Besar dari Sekolah Wawasan berkenaan secara bergilir-gilir mengikut kesesuaian sama ada satu atau dua tahun sekali. Jawatankuasa Penyelaras tidak akan menggantikan fungsi Lembaga Pengelola SJKK (Cina) dan SJK (Tamil).

g. Kantin sekolah akan dikendalikan bersama-sama oleh sekolah-sekolah berkenaan. Dalam urusan ini, sensitiviti semua kaum akan diambil kira dan bayaran sewa akan diagihkan kepada sekolah -sekolah berdasarkan nisbah murid.

Makanan yang disediakan adalah makanan yang halal dan juga mengambil kira sensitiviti pelbagai kaum.

Kurikulum dan Bahasa Pengantar

a. Sekolah Wawasan menggunakan Kurikulum Kebangsaan dengan bahasa pengantar di Sekolah Kebangsaan ialah Bahasa Malaysia manakala SJK(C) menggunakan Bahasa Cina dan SJK(T) menggunakan Bahasa Tamil.

b. Mata pelajaran yang diajar di sekolah adalah mengikut Kursus-Kursus Pengajian bagi jenis aliran sekolah.

c. Pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Wawasan juga adalah mengikut jenis aliran sekolah dan jumlah tenaga pengajarnya adalah mengikut norma perjawatan yang telah ditetapkan.

Kokurikulum

a. Selain daripada aktiviti kokurikulum yang sedia ada di setiap sekolah, warga Sekolah Wawasan digalak menjalankan aktiviti kokurikulum tambahan secara bersama.

Bahasa pengantar masing-masing juga boleh digunakan semasa aktiviti kokurikulum dijalankan oleh sekolah masing-masing.

b. Dalam sebarang bentuk pertandingan sama ada aktiviti kurikulum atau aktiviti kokurikulum, sekolah-sekolah berkenaan akan menghantar wakil terbaik dari sekolah masing-masing.

Di samping itu, sekolah berkenaan boleh menghantar wakil sebagai satu pasukan sekolah wawasan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan pasukan yang mempunyai ramai penyertaan.

c. Untuk mengeratkan perpaduan antara kaum, Sekolah-Sekolah Wawasan adalah digalakkan mengadakan Temasya Sukan Tahunan, Hari Guru, Hari Kebangsaan, Hari Kantin secara bersama. Namun demikian, sekolah masing-masing boleh mengadakan acara-acara tersebut secara berasingan.

d. Perhimpunan bulanan hendaklah dijalankan secara bersama dengan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi perhimpunan. Bagaimanapun, bahasa Cina dan bahasa Tamil juga boleh digunakan untuk memperjelaskan jika ada isu-isu yang perlu diperjelaskan.

Sekolah-sekolah berkenaan boleh menjalankan perhimpunan mingguan dan perhimpunan-perhimpunan lain dengan menggunakan bahasa pengantar masing-masing.

Kesimpulan

� Pelaksanaan Sekolah Wawasan akan mampu membentuk bangsa Malaysia yang bersatu padu, bekerjasama dan hidup harmonis dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bahagi terhadap bangsa dan negara.

� Justeru, pelaksanaan Sekolah Wawasan oleh pihak kerajaan tidak seharusnya dieksploitasikan oleh pihak tertentu terutamanya pembangkang untuk kepentingan politik maisng-masing kerana matlamat asal penubuhan sekolah tersebut amat penting iaitu dalam melahirkan generasi yang bersatu-padu dan saling memahami antara satu sama lain.

0 Comments: