Sunday, June 7, 2009

Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan PTPTN kepada Bakal Mahasiswa/i Parlimen Pasir Gudang





Buat pertama kalinya sejak kerajaan mewujudkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), suatu majlis penyerahan wang pendahuluan PTPTN akan diadakan oleh Biro Pelajaran dan Kemahiran UMNO Bahagian Pasir Gudang khusus untuk bakal-bakal mahasiswa dan mahasiswi yang telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Awam seluruh negara bagi sesi kemasukan 2009.

Seramai 197 pelajar dari kawasan Parlimen Pasir Gudang akan menerima wang pendahuluan PTPTN sebanyak RM1500 seorang pada hari tersebut dan selebihnya melalui kiriman wang pos sebagaimana biasa. Antara tujuan majlis ini diadakan adalah semata-mata untuk melahirkan rasa kecintaan dengan semangat 1Malaysia dan memberikan kesedaran kepada bakal-bakal graduan ini betapa kerajaan dan UMNO begitu mengambil berat terhadap aspek pendidikan. Selain itu, sudah tentunya wang ini dapat meringankan bebanan ibubapa mereka untuk dijadikan wang pendaftaran di intitusi pengajian tinggi dan membeli berbagai peralatan serta keperluan lain dalam menghadapi dunia baru di kampus-kampus yang bakal mereka duduki.

Diharapkan masyarakat sedar bahawa UMNO bukan sahaja untuk berpolitik tetapi lebih daripada itu, sentiasa memikirkan soal-soal perlunya menimba ilmu sebanyak mungkin dan menjamin setiap pelajar yang kurang kemampuannya dapat melanjutkan pelajaran di menara gading,dengan harapan apabila mereka berjaya nanti mereka akan menjadi insan yang sentiasa mengenang budi terhadap ibubapa mereka dan parti UMNO yang menjadi teras dalam kerajaan. Dalam hal ini, Biro Pelajaran & Kemahiran UMNO Bahagian Pasir Gudang akan memantau pelajar-pelajar ini sehingga mereka tamat pengajian dengan memastikan mereka ini tidak ketinggalan dalam arus perdana negara dan akan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama khususnya di kawasan Parlimen Pasir Gudang.

Majlis penyerahan ini akan dilakukan sendiri oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, selaku Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Pasir Gudang pada 13 Jun 2009, bertempat di Dewan Politeknik Johor Bahru, jam 9 pagi. Para penerima diwajibkan hadir dan bagi menyemak senarai penerima bolehlah melayari laman web Kementerian Pengajian Tinggi atau Biro Pelajaran & Kemahiran UMNO bahagian Pasir Gudang…….. atau menghubungi pihak urusetia di talian 0137878758 atau 0177997929. Ibu bapa penerima dijemput hadir sama.

No comments: