
Memandangkan Pasir Gudang merupakan sebuah kawasan perindustrian, pihak biro dengan kerjasama kolej komuniti dan beberapa institusi kemahiran yang terdapat di sekitar Pasir Gudang akan menyediakan beberapa kursus asas kemahiran di peringkat persijilan, semata-mata untuk memenuhi keperluan tenaga mahir di sekitar Pasir Gudang di samping melahirkan usahawan-usahawan kecil melalui kursus-kursus seperti membaiki telefon, gunting rambut, persolekan, jahitan, membuat kuih dan kek.
Selain daripada itu, bagi memberi kemudahan pendidikan yang lebih selesa khususnya pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, UMNO Bahagian Pasir Gudang telah menyediakan Kelas Bimbingan UMNO secara percuma di kawasan-kawasan rumah pangsa yang kebanyakannya didiami oleh mereka yang kurang berkemampuan dan mempunyai rumah yang sempit serta tidak selesa untuk anak-anak mereka mengulangkaji pelajaran. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap dua buah kelas bimbingan UMNO yang telah di bina di Rumah Pangsa Tmn. Cendana blok 38 dan 42, UMNO Bahagian Pasir Gudang akan membina tiga buah lagi kelas bimbingan di Rumah Pangsa Tmn.Molek, Rumah Pangsa Permas Jaya dan Rumah Pangsa Rosmerah Johor Jaya.
YB Dato' Seri Mohammed Khaled Nordin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang telah bermurah hati memperuntukan keseluruhan elaun Ahli Parlimennya untuk membiayai segala keperluan kelas bimbingan tersebut termasuklah saguhati kepada tenaga pembimbing Kelas Bimbingan UMNO Pasir Gudang.
Biro Pelajaran dan Kemahiran juga akan memantau program akhbar percuma yang disumbang oleh ahli parlimen Pasir gudang kepada 10 buah sekolah rendah dan 5 buah sekolah menengah, selama 40 minggu. Bagi sekolah rendah akhbar percuma akan diagihkan pada setiap hari Isnin dan sekolah menengah pada setiap Selasa dan Rabu. Pemberian akhbar percuma ini adalah bagi menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar dan sebagai bahan sampingan pengajaran dan pembelajaran.
Sementara itu suatu majlis anugerah kecemerlangan UPSR 2008 akan diadakan pada 31 Januari ini bertempat di Sekolah Kebangsaan Tmn.Rinting 2, yang merupakan sekolah terbaik dalam pencapaian UPSR 2008 di Parlimen Pasir Gudang. Majlis yang akan disempurnakan oleh YB.Dato Seri Mohammed Khaled Nordin, yang merupakan Menteri Pengajian Tinggi itu akan diadakan pada jam 2 petang. Seramai 261 pelajar UPSR 2008 sekitar Parlimen Pasir Gudang akan menerima sumbangan tajaan Yayasan Pelajaran Mara sebanyak RM100 seorang.
Dengan penganjuran dan perancangan biro Pelajaran dan Kemahiran ini, sekurang-kurangnya akan membuka minda masyarakat bahawa parti UMNO bukan sebuah parti yang hanya memikirkan soal politik semata-mata, malah sentiasa menjadikan pendidikan pelajar-pelajar sebagai suatu wadah yang sentiasa diperjuangkan oleh UMNO. Justeru itu masyarakat seharusnya sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada segala usaha parti UMNO untuk pembangunan insan yang lebih cemerlang.
Bagi memenuhi keperluan pendidikan yang berterusan ini, pihak-pihak swasta, syarikat-syarikat perkilangan mahupun individual digalakkan untuk menghulur bantuan atau sumbangan terus kepada Pusat Khidmat Parlimen Pasir Gudang dengan menghubungi 07-3571964 atau 017-7997929.
MOHD KHATIM BIN OTHMAN
Pengerusi Biro Pelajaran dan Kemahiran
UMNO Bahagian Pasir Gudang.
017-7997929
No comments:
Post a Comment