KOTA BHARU – “Kami akan ambil tindakan undang-undang.” Itu tegas Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang tidak menolak kemungkinan berbuat demikian terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan.
Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, PPSMI secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang termaktub bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
“Langkah itu mungkin sebagai tanda kemuncak kepada kekecewaan kalangan cendekiawan dan pencinta bahasa Melayu kerana desakan supaya PPSMI tidak diteruskan sebelum ini tidak mendapat maklum balas yang sepatutnya daripada kerajaan,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perpaduan Melayu di sini semalam.
Ismail berkata, natijah daripada sikap kerajaan sendiri yang tidak menghormati dan mempercayai kesucian Perlembagaan Persekutuan telah menyebabkan pelbagai pihak mengambil kesempatan untuk memperlekehkan ketuanan Melayu.
No comments:
Post a Comment