Di samping menyediakan pembiayaan pinjaman pendidikan, PTPTN juga menyediakan kemudahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) khusus kepada pelajar-pelajar baru IPTA yang layak sebelum pelajar mendaftarkan diri. Mulai tahun 2010, PTPTN telah meluaskan skop penyediaan kemudahan WPP kepada pelajar-pelajar yang ditwarkan ke Politeknik (program Diploma) di samping skop sedia ada untuk pelajar-pelajar yang ditawarkan tempat di IPTA.
Dasar pemberian WPP yang mula dilaksanakan pada tahun 1999 adalah bertujuan untuk membolehkan pelajar-pelajar membuat persediaan awal untuk memasuki IPTA dan sekali gus meringankan bebas kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa. Kelayakan mendapat WPP adalah seperti berikut:-
i. Warganegara Malaysia
ii. Pendapatan bulanan keluarga tidak melebihi RM4,000
iii. Tidak pernah menerima WPP atau pembiayaan pendidikan PTPTN
iv. Memaklumkan bahawa memerlukan WPP semasa membuat permohonan kemasukan ke IPTA/Politeknik melalui UPU
WPP ini diberi kepada pelajar-pelajar yang layak melalui waran CIMB Bank bernilai RM1,500 yang mempunyai tempoh sah laku selama sebulan daripada tarikh yang dicatatkan pada waran. Pelajar-pelajar boleh menunaikan waran ini di mana-mana cawangan CIMB Bank sahaja. Penunaian HANYA dibuat di kaunter bank dan tidak boleh dimasukkan melalui mesin deposit cek. Pelajar perlu mengemukakan kad pengenalan sewaktu menunaikan waran ini.
Bagi pelajar-pelajar yang diluluskan pembiayaan pendidikan oleh PTPTN, WPP yang ditunaikan ini akan ditolak (sebanyak RM500 setiap semester) semasa pengeluaran pembiayaan dibuat. Manakala bagi pelajar-pelajar yang tidak memohon pinjaman pendidikan PTPTN hendaklah membuat penyelesaian penuh secara sekali gus seperti yang telah ditetapkan.